Thursday, November 4, 2010

(Offical video ) Sami Yusuf - Healing ( lyrics ) مترجمة للعربيّة

Healing From Sami Yusof
Penyanyi asal keturunan Turki ini tersohor dengan lagu-lagu dakwah yang kontemporari dan sederhana sifatnya. Oleh itu, inilah album ketiganya sesudah Al-Muallim dan My Ummah yang cukup dikenali di seluruh dunia.
Mendengar lagu ini mendekatkan diri kita pada Pencipta Yang Maha Esa. Apabila kita sentiasa membantu orang lain dengan ikhlas, maka ganjaran akan diperoleh. Bukan oleh diri kita sendiri, tetapi oleh mereka yang cukup hampir dalam kehidupan kita seperti ayah, ibu, kakak, abang, adik, anak, isteri dan sanak-saudara kita yang tercinta.
Sesungguhnya, setiap kebaikan yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah setimpal dengan apa yang kita lakukan. Yang baik, akan dibalas dengan kebaikan. Yang buruk, akan dibalas dengan keburukan sekiranya kita masih enggan memohon kemaafan dan keampunan dariNya. Jadilah, umat Islam yang bukan sahaja berbuat baik sesama kita. Bahkan, jadilah insan yang sentiasa menabur kebaikan untuk semua tidak mengira agama, bangsa mahupun negara. Yang pasti, Tuhan kita adalah sama sekalipun dengan pelbagai nama. Akhirnya, kita sendiri akan kembali dalam pangkuanNya.

Monday, May 24, 2010

DADAH BENCANA NEGARA

Dalam dakapan sangkar kerikil besi yang tajam

Terjelma seribu penyesalan di lubuk nubari tercipta

Angkara dadah musuh utama durjana

Menikam-nikam seluruh denyut nadi kehidupan bertakhta

Morfin, heroin, kokain, ketamin. Kodien, candu, syabu, ekstasi, ganja dan marijuana

Ganas menggila menggoda tisu-tisu nafsu petaka

Segalanya meresap ke pembuluh darah manusia-manusia yang leka

Membinasa anak-anak bangsa yang terpana jiwanya.


Tatkala menjadi hamba najis bencana direnggut padah

Dadah meraja tubuh mendukung musibah

Detik-detik hitam mencamur dinding-dinding maruah

Prinsip dipasak tergelincir di kaki hina yang membarah

Yang dicari hanya sedetik bahagia percuma berwajah

Harapan penderitaan tidak mungkin disanggah.


Satu Malaysia bersuara berbicara

Bangunlah duhai anak-anak bangsa

Demi bunga pertiwi yang kian layu di taman astaka

Bersatu tenaga tanpa ragu dan alpa

Sederap langkah membangun wawasan nusa

Menghindar ancaman perosak khazanah negara

Berkorban menuju cemerlang, gemilang, terbilang sentiasa.


Dadah durja dimurka negara

Menjinjing binasa pusaka nuansa

Menggugat masyarakat harmoni terpenjara.

Hindarkan hapuskan dadah pemusnah ternama

Usah terleka meskipun negara aman ketara

Berjaga-jaga pada anasir yang mencamuk dalam lupa.


Sehati sejiwa bangsa terbela

Dadah bencana negara

Satu Malaysia banteras segera

.

Nazad Ariff 2010


Sempena Pertandingan Pendidikan Pencegahan Dadah

Deklamasi Sajak PPDA Zon Bangsar di SMK TTDI, Kuala Lumpur.

Wednesday, March 3, 2010

NUR MUHAMMAD S.A.W : QUDWAH HASANAH


Tatkala gelita menyelubung dunia hadharah
percikan nur cinta quddus-Nya bicara hikmah
di tengah tanah gersang penuh debu jahiliyah
rahmat kelahiran putera Bakkah
meruntun keangkuhan manusia Abrahah
nafsu keegoan sombong melanggar Makkah
megah bersama tentera bergajah
musnah disambar bara angkara Ababil kiriman Allah.

Sifatul Anbiya' tuntutan sunnah
memecah jiwa kematu berinti sayyi'ah
mendukung hidayah mempertahan diniyyah
teraju kepimpinan seluruh ummah
sederap kaki melangkah menuju halaqah
meraih keredhaan memetik mawaddah
hanya pada Allah tempat dipasrah.

Nur Muhammad tercipta sejuta mahabbah
Rasulullah utusan Rab pelengkap amanah
mengetuk ketulusan di pintu-pintu jannah
menyulami keimanan di sejadah mutmainnah
bersujud insan ukhrawi di bumi bertuah
menjana duniawi di atas titian karimah.

Rasulullah s.a.w qudwah hasanah
Ihya' as-Sunnah berpaut seribu sa'adah
jitu memaut tangan berakad Aqabah
segalanya berteduh di bawah pohon sakinah
lalu bersatu membentuk jamaah
memantap ukhuwah memperkasa ummah.

Menghidupkan sunnah Rasulullah
amalan terpuji menghias ruhiyyah
Nur Muhammad bersaksikan syahadah
zahiri toyyibah batini nazifah.


Rizan Hijazi
12 Rabiul Awal 1431 Hijrah

Sambutan Maulidur Rasul 1431 H SMK Petaling 2010
5 Mac 2010

Wednesday, November 4, 2009

MAJLIS ANUGERAH ASRAMA PUTERA SMKP 2009


BAIT TOLABAH

Asrama Putera
Megah teguh persada dijulang
Menongkah cuaca terik dan basah
Meneduh insan cintakan ilmiah
Berusaha tanpa mengenal penat lelah
Mendaki tangga ke puncak natijah.

Asrama Putera
Dari pagar bait tolabah ke pintu dirasah
Menyidai amalun di tangkai qalbun
Mencipta indah gemilang masyhurah
Nubari tersirna cahaya putih nazifah.

Asrama Putera
Menjanjikan semangat kendiri hasanah
Jati diri membentuk karamah
Nurani kelam berwajah munirah
Segalanya bermula safarah
dengan langkah afdhaliyah.

Asrama Putera
Dampingimu suatu sakinah
Menuju toyyibah berinti futuwwah
Harapan saadah di jendela al-falah
Lantai mawaddah berlapik tikar fatonah.

Asrama Putera
Bait Tolabah
Madrasah ukhuwwah.


Nazad Ariff
2 November 2009

Saturday, October 31, 2009

15 MUSUH IBLIS & 10 SAHABAT IBLIS : SUATU RENUNGAN

Menurut riwayat Wahab bin Munbih, pernah terjadi peristiwa di mana Allah S.W.T memerintahkan agar Iblis menemui Nabi Muhammad s.a.w dan menjawab segala pertanyaan yang diajukan oleh baginda. Lalu, Iblis pun mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w dengan menyamar sebagai seorang yang tua bangka yang sedang memegang tongkat.
Nabi s.a.w bertanya :
"Siapakah anda?"
"Saya Iblis," jawab Iblis tersebut.
"Apakah maksudmu, datang?" Tanya Rasulullah s.a.w.
"Tuhan memerintahkanku supaya menemui anda dan menjawab segala pertanyaan anda," jawab Iblis.
"Wahai iblis, berapakah banyaknya musuh-musuhmu dari umatku?" Tanya Rasulullah s.a.w.
"Lima belas orang," jawab Iblis.
"Siapakah mereka?"
  1. Nabi Muhammad s.a.w
  2. Imam yang adil
  3. Orang kaya yang rendah hati
  4. Pedagang yang jujur
  5. Orang alim yang solatnya khusyuk
  6. Orang beriman yang suka memberi nasihat
  7. Orang beriman yang pengasih
  8. Orang yang taubat dan tetap atas taubatnya
  9. Orang yang tidak mahu berbuat kemungkaran
  10. Orang beriman yang sentiasa berwudhuk
  11. Orang beriman yang banyak bersedekah
  12. Orang beriman yang berkelakuan baik
  13. Orang beriman yang memberi manfaat kepada orang lain
  14. Orang yang mengamalkan dan terus-menerus membaca al-Qur'an
  15. Orang yang menegakkan ibadat pada waktu malam, sedangkan orang lain tidur dengan nyenyaknya
Selanjutnya Rasulullah s.a.w bertanya pula.
"Berapakah banyak kawan-kawanmu dari umatku?"
"Sepuluh orang," jawab Iblis.
"Siapakah mereka?" Tanya Rasulullah s.a.w.
  1. Hakim yang tidak adil
  2. Orang kaya yang sombong
  3. Pedagang yang khianat
  4. Peminum arak
  5. Penghasut kepada orang lain
  6. Orang yang beramal kerana inginkan nama (riak)
  7. Orang yang memakan harta anak yatim
  8. Orang yang mempermudahkan solat
  9. Orang yang tidak mahu menunaikan zakat
  10. Orang yang suka termenung (mengelamun)
Renung-renunglah, siapakah diri kita sebenarnya?
(Gambar di atas adalah hiasan. Bukan realiti).

Wednesday, October 28, 2009

MEMBACA : SATU MALAYSIA

Iqra'
gema surah al-Alaq mengapung di jiwa

bacalah......3 X

menuntut ilmu suatu amanat dijaga rapi

anugerah bijak bestari idaman nurani

penentu masa depan cerlang gemilang.


Iqra'

bermula di alam rahim ibunda

berakhir di alam barzakh milik-Nya
membaca budaya amalan manusia

yang tidak pernah mengecewakan

terkabul hasrat cita-cita tersemat.

Iqra'

dari pagar madrasah ke pintu dirasah
membaca pengetahuan ditimba terserlah

mendakap keikhlasan sebuah perjuangan

satu Malaysia membaca dicipta

penuh cabaran mengisi layar kehidupan

derap langkah enggan berpaling

citra wawasan Malaysia terbilang.


Iqra'
anak-anak bangsa satu Malaysia

bacalah.....3 X

realiti berjaya.

Rizan Hijazi

28 Oktober 2009
Sempena Pelancaran Kempen Membaca Satu Malaysia

Tuesday, October 27, 2009

KANAK-KANAK DAGESTAN, RUSSIA BERSAMA AYAT-AYAT AL-QURAN PADA JASADNYA

Saat dan ketika kita terleka dengan kemewahan duniawi, tiba-tiba kita dikejutkan oleh satu peristiwa menakjubkan di bumi Dagestan, Russia. Seorang kanak-kanak lelaki memiliki beberapa potong ayat al-Quran yang tertulis lengkap berserta barisnya yang jelas dipaparkan di media antarabangsa. Doktor-doktor pakar begitu teruja ingin mengkaji sebab-musabab berlakunya kejadian tersebut terhadap darah yang terkandung dalam tubuh kanak-kanak berusia 9 bulan itu sehingga terpamer jelas pada betis, tangan, perut, dan kaki dalam tulisan berona merah. Inilah sebenarnya yang harus kita renungi. Kebesaran dan keagungan Allah S.W.T sewajarnya dikagumi dan diinsafi sepanjang kehidupan. Kejadian luar biasa ini juga perlu disyukuri nikmat-Nya biar pun berupa peringatan yang amat mahal harganya.
Saksikanlah keajaiban yang Allah S.W.T bukakan hijabnya agar kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa bertafakur mengadap-Nya. Apatah lagi, sebagai umat Islam yang dahagakan bukti keesaan-Nya seharusnya menjadikan segalanya ini sebagai suatu aspirasi murni ke arah menjadi seorang muslim, mukmin dan mukhsin.
Sama ada kita menganggap peristiwa tersebut sebagai pengajaran mahu pun amaran daripada Allah S.W.T, kita sendiri perlulah merasakan bahawa inilah penyaksian alam musyahadah yang jarang-jarang diperlihatkan. Maka, tetapkanlah iman dalam lingkungan orang yang soleh. Itulah langkah terbaik untuk sentiasa mendapat keredhaan_Nya di dunia dan di akhirat.