Dalam dakapan sangkar kerikil besi yang tajam
Terjelma seribu penyesalan di lubuk nubari tercipta
Angkara dadah musuh utama durjana
Menikam-nikam seluruh denyut nadi kehidupan bertakhta
Morfin, heroin, kokain, ketamin. Kodien, candu, syabu, ekstasi, ganja dan marijuana
Ganas menggila menggoda tisu-tisu nafsu petaka
Segalanya meresap ke pembuluh darah manusia-manusia yang leka
Membinasa anak-anak bangsa yang terpana jiwanya.
Tatkala menjadi hamba najis bencana direnggut padah
Dadah meraja tubuh mendukung musibah
Detik-detik hitam mencamur dinding-dinding maruah
Prinsip dipasak tergelincir di kaki hina yang membarah
Yang dicari hanya sedetik bahagia percuma berwajah
Harapan penderitaan tidak mungkin disanggah.
Satu Malaysia bersuara berbicara
Bangunlah duhai anak-anak bangsa
Demi bunga pertiwi yang kian layu di taman astaka
Bersatu tenaga tanpa ragu dan alpa
Sederap langkah membangun wawasan nusa
Menghindar ancaman perosak khazanah negara
Berkorban menuju cemerlang, gemilang, terbilang sentiasa.
Dadah durja dimurka negara
Menjinjing binasa pusaka nuansa
Menggugat masyarakat harmoni terpenjara.
Hindarkan hapuskan dadah pemusnah ternama
Usah terleka meskipun negara aman ketara
Berjaga-jaga pada anasir yang mencamuk dalam lupa.
Sehati sejiwa bangsa terbela
Dadah bencana negara
Satu Malaysia banteras segera
.
Nazad Ariff 2010
Sempena Pertandingan Pendidikan Pencegahan Dadah
Deklamasi Sajak PPDA Zon Bangsar di SMK TTDI, Kuala Lumpur.