Friday, April 6, 2012

JELAPANG KASIH

SINOPSIS NOVEL TERBARU 2012

Kata orang, hendak menguji setia atau tidaknya seseorang sahabat tunggulah di kala derita. Begitulah persahabatan yang terjalin di antara Iqbal dan Azam. Jelapang Kasih mengisahkan tentang persahabatan dua mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya yang erat sejak mula-mula menjejakkan kaki di menara gading. Azam merupakan seorang anak ahli perniagaan yang begitu berjaya dalam karier, tetapi sentiasa terabai kasih sayang dalam keluarganya. Manakala Iqbal pula adalah anak sulung dalam keluarga miskin yang penuh dengan masalah yang tersendiri.
Mereka ibarat paha kanan dicubit, paha kiri terasa juga sakitnya. Jalinan persahabatan yang bersimpul erat ini terpaksa merempuh badai kehidupan yang kadang-kadang beralun kencang. Seketika hubungan mereka menjadi renggang. Dan pada ketika yang lain, kasih di antara mereka kembali bertaut.
“Kita orang Islam, Zam. Segala perjalanan kita ini sudah ditentukan oleh-Nya,”
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya,”
“Iq, terima kasih atas manisnya persahabatan yang engkau hulurkan sekian lama ini,”
Arina, Maizatul Akma, Syafinaz, Adila, Sofia. Mereka sekadar mampu mengusik rasa hati para jejaka. Ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Azam daripada pengetahuan Iqbal. Apakah rahsia tersebut? Apabila terbongkar, ramai rakan-rakan seperjuangan menjauhkan diri. Namun, Iqbal semakin mendekat. Anehnya, rahsia Iqbal sendiri begitu kuat tersimpan yang menuntut sejumlah pengorbanan murni.
“Jelapang kasih yang menghijau sudah menguning keemasan. Tuailah dengan kesabaran dan kejujuran. Nescaya kemesraan akan terurai dengan kepercayaan dan keyakinan, Zam,”
Akan berakhirkah episod persahabatan yang dilukiskan di kanvas nurani?
Rizan Hijazi 2012