Monday, August 31, 2009

HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 52


SATU MALAYSIA

Jalur gemilang berona aneka pancawarna
Berkibar megah berpanji satria
Menyerlah perpaduan pelbagai citra
Mendukung nusa budi luhur persada
Anak-anak watan Malaysia bersatu dalam nuansa.

Gegak gempita pejuang agama bangsa negara
Menabrak tubuh-tubuh petualang pertiwi siaga
Berwajah derhaka berinti durjana
Keamanan kesejahteraan keharmonian kemakmuran ampuh terjaga
Jiwa-jiwa besar masa depan murni tercerna.

Bangkitlah…..bangkitlah warga Malaysia
Biar berbagai rasa terjerut dalam nubari cita
Biar berbagai minda bercelaru dalam atma
Bersama perkukuhkan satu Malaysia gagasan merdeka
Melangkah gagah tanpa ragu bimbang celaka.

Merdeka…..Merdeka…..Merdeka…..
Kalimat keramat bersalut makrifat
Ada yang gugur mempertahankan maruah
Ada yang luruh membenteras dakyah
Tercarik sejuta luka mencatat sejarah

Marilah…..Marilah wahai bangsa Malaysia berdaulat
Bersama serumpun bertemankan ukhuwah
Satu Malaysia warganegara bermadah:
"Satu Malaysia…..bersuara!"
Reezan Daas
31 Ogos 2009

Thursday, August 27, 2009

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1430 H

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum Ya Ramadhan. Begitulah kalimat yang menyentuh cuping telinga dalam menyambut Ramadhan al-Mubarak. Bulan mulia yang datang sepurnama dalam satu sanah telah berkunjung dalam dakapan taqwim Islam. Inilah saat dan ketikanya kita menjurus dalam amalan Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan cahaya Ramadhan yang sangat dirindui.
Mafhum puasa itu sendiri bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Bahkan, menuntut seluruh umat Islam menghayati roh Ramadhan sebaik mungkin. Bulan rahmat, bulan keberkatan, bulan keampunan. Itulah gelaran yang diberikan oleh kita bagi mengajak saudara seagama kita mengaplikasikannya dalam segenap sudut kehidupan harian. Maka, jadikanlah Ramadhan sebagai shahrul yang paling afdal untuk memurnikan hawa nafsu. Kita dihidangkan dengan amalan-amalan sunat Nabi S.A.W seperti solat sunat Tarawikh, bersedekah, qiamullail, berbuka awal, bersahur lewat, tadarus serta tilawah al-Qur'an dan sebagainya.
Namun, usah sesekali terlupa untuk mengenal pasti matlamat utama menghayati penurunan al-Qur'an di bulan Ramadhan. Malahan, terlalu banyak peristiwa penting berlaku di bulan Ramadhan seperti Perang Badar Al-Kubra. Dalam kegigihan umat Islam mengekang kerakusan kaum kafir Quraisy, mereka tidak sedar bahawa mereka berhadapan dengan peperangan paling besar dalam hidup mereka iaitu memerangi hawa nafsu sehingga diberitahu oleh Rasulullah S.A.W. Kalau tidak kerana kelebihan Ramadhan, Sayyidina Umar bin al-Khattab tidak menangis sehingga basah sebahagian besar bajunya ketika Ramadhan hampir mengucapkan selamat tinggal.
Oleh yang demikian, marilah seluruh umat Islam yang mengakui dirinya muslim untuk sama-sama meningkatkan keimanan, menebalkan kekuatan serta berusaha meneguk keakraban kita kepada Allah S.W.T yang merupakan Tuhan bagi sekalian makhluk di dunia dan di akhirat. Moga-moga segala amalan yang kita lakukan ini akan mendapat keredhaan Allah Azza Wa Jalla. Insya-Allah!