Thursday, August 27, 2009

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1430 H

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum Ya Ramadhan. Begitulah kalimat yang menyentuh cuping telinga dalam menyambut Ramadhan al-Mubarak. Bulan mulia yang datang sepurnama dalam satu sanah telah berkunjung dalam dakapan taqwim Islam. Inilah saat dan ketikanya kita menjurus dalam amalan Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan cahaya Ramadhan yang sangat dirindui.
Mafhum puasa itu sendiri bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Bahkan, menuntut seluruh umat Islam menghayati roh Ramadhan sebaik mungkin. Bulan rahmat, bulan keberkatan, bulan keampunan. Itulah gelaran yang diberikan oleh kita bagi mengajak saudara seagama kita mengaplikasikannya dalam segenap sudut kehidupan harian. Maka, jadikanlah Ramadhan sebagai shahrul yang paling afdal untuk memurnikan hawa nafsu. Kita dihidangkan dengan amalan-amalan sunat Nabi S.A.W seperti solat sunat Tarawikh, bersedekah, qiamullail, berbuka awal, bersahur lewat, tadarus serta tilawah al-Qur'an dan sebagainya.
Namun, usah sesekali terlupa untuk mengenal pasti matlamat utama menghayati penurunan al-Qur'an di bulan Ramadhan. Malahan, terlalu banyak peristiwa penting berlaku di bulan Ramadhan seperti Perang Badar Al-Kubra. Dalam kegigihan umat Islam mengekang kerakusan kaum kafir Quraisy, mereka tidak sedar bahawa mereka berhadapan dengan peperangan paling besar dalam hidup mereka iaitu memerangi hawa nafsu sehingga diberitahu oleh Rasulullah S.A.W. Kalau tidak kerana kelebihan Ramadhan, Sayyidina Umar bin al-Khattab tidak menangis sehingga basah sebahagian besar bajunya ketika Ramadhan hampir mengucapkan selamat tinggal.
Oleh yang demikian, marilah seluruh umat Islam yang mengakui dirinya muslim untuk sama-sama meningkatkan keimanan, menebalkan kekuatan serta berusaha meneguk keakraban kita kepada Allah S.W.T yang merupakan Tuhan bagi sekalian makhluk di dunia dan di akhirat. Moga-moga segala amalan yang kita lakukan ini akan mendapat keredhaan Allah Azza Wa Jalla. Insya-Allah!

No comments:

Post a Comment