Friday, February 4, 2011

DEMONSTRASI RAKYAT MESIR : SATU RENUNGAN


Demonstrasi sejuta rakyat Mesir menolak pemerintahan diktator rejim Hosni Mubarak selama 30 tahun sewajarnya menjadi iktibar buat kita. Kekangan terhadap kebebasan demokrasi, pengangguran yang meluas, ekonomi yang tidak banyak berubah serta kesedaran terhadap pentingnya Islam diletakkan ke mercuNya kembali adalah menjadi punca utama kebangkitan tersebut. Hal demikian telah menyebabkan 11, 319 orang rakyat Malaysia yang menuntut di sana sama ada yang menginap di Tanta, Madinah Nasr, Mansuroh, Alexandria, Abbasiah, dan sebagainya terperangkap dalam kecamuknya demonstrasi yang bertukar menjadi rusuhan. Keselamatan mereka terancam oleh rompakan, bekalan makanan berkurangan, dan komunikasi yang tersekat menyebabkan keadaan mereka menjadi tanda tanya semua rakyat Malaysia. Walaupun proses evakuasi sedang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia melalui TUDM, TLDM, MAS dan AirAsia. Namun, kebanyakan keluarga yang terlibat belum boleh menarik nafas lega selagi anak-anak mereka tidak pulang dengan selamat dan berada di hadapan mereka. Walau bagaimanapun, setinggi-tinggi ucapan jutaan terima kasih atas tanggungjawab Kerajaan Malaysia membawa mereka pulang sekalipun ada banyak keresahan atas tindakan yang lewat dilakukan.
Merujuk kepada momentum rakyat Mesir bangkit dalam usaha memperkasakan demokrasi yang dikatakan diinspirasikan dengan keadaan di Tunisia. Sebenarnya, kebangkitan itu telah bermula sejak tahun 1949. Insiden syahidnya Syeikh Hassan Al-Banna membuka minda rakyat Mesir ke arah kesedaran beragama untuk meletakkan Islam di atas mercu-Nya. Bererti sudah lebih 60 tahun, Ikhwanul Muslimin menunggu dengan sabar agar Mesir kembali bersinar dengan cahaya Islamnya.
Kini, masanya telah tiba wilayah Timur Tengah menjatuhkan pemimpin-pemimpin yang pro AS dan Israel agar umat Islam dapat bersatu menegakkan kembali Khilafah Islamiah. Meskipun sejarah sudah membuktikan Islam berjaya mensejahterakan seluruh umat manusia di dunia. Namun, tidak begitu ramai musuh Islam yang menafikan fakta tersebut. Maka, pamerkanlah akhlak yang mulia bagi menarik minat bukan Islam memahami apa itu Islam sebenarnya.
Generasi muda perlulah celikkan mata kerana kebahagiaan yang hakiki bukan terletak pada duniawi semata-mata. Bahkan, perlu dipersiapkan untuk keperluan ukhrawi. Jangan biarkan diri hanyut dalam godaan dunia yang menipu. Bangkitlah dan sedarlah peranan anda dalam memakmurkan dunia hari ini. Demi Allah dan Rasul-Nya, bergeraklah maju ke hadapan dengan meletakkan agama di atas pundak kalian. Insya-Allah, segalanya akan membuahkan pahala yang berlipat kali ganda. Ikhlaskan hati, nescaya keredhaan-Nya sentiasa di sisi.
Kekuatan Islam itu akan kembali gemilang dengan meletakkan keadilan bagi mengembalikan kesejahteraan manusia di muka bumi ini. Siapa lagi yang perlu meletakkan Islam kembali ke dalam nubari, kalau bukan kita sendiri, umat Islam yang sangat cintakan Tuhan Yang Maha Esa.