Tuesday, July 14, 2009

SELAMAT HARI GURU

KL Sentral yang terletak di tengah kesibukan kota metropolitan pesat membangun tampak menyerlahkan kesesakan. Warga madani cukup pantas mengejar masa. Begitu teruja mencipta citra dalam warna kehidupan. Ustaz Hafizurrahman yang baru turun dari bas RapidKL terus menaiki ekskalator yang bergerak dalam frekuensi sederhana tanpa bertangguh. Langkah derapnya menuju ke restoran KFC di tingkat dua. Sesekali terdengar bunyi roda besi komuter bergesel dengan rel yang usang.

“Assalamualaikum, Ikram,” ujar Ustaz Hafizurrahman di kaunter hadapan restoran KFC.
“Waalaikumussalam,” balas Ikram Ilhami, sedikit gugup. Ustaz Hafizurrahman? Ya Allah, kenapa muncul di sini?
“Lama tak jumpa? Masih bekerja di sini?” Tanya Ustaz Hafizurrahman lagi. Ikram Ilhami tidak membalas, tetapi spontan menganggukkan kepala.
“Pukul berapa awak berhenti berehat?” Tanya Ustaz Hafizurrahman, perlahan.
“Pukul tiga, ustaz,” balas Ikram Ilhami. Kenapa? Masalah tercerna begitu memberat?
“Boleh saya berbual dengan awak nanti?” Soal Ustaz Hafizurrahman seraya tersenyum manis. Ikram Ilhami mengangguk lambat-lambat.
“Syukran,” balas Ustaz Hafizurrahman. Mengundur setapak. Kemudian, melangkah ke satu sudut ruang tempat duduk yang kosong. Punggung segera dilungguhkan. Jam di tangan dikerling seketika. Baru menunjukkan jam dua empat puluh lima minit. Ada baki lima belas minit lagi sebelum bersua muka. Ustaz Hafizurrahman melepaskan lelah sepanjang perjalanan dengan sekali nafas dihela. Mata terpejam seketika. Kepenatan mendidik anak-anak bangsa sejak pagi tadi terkuras dalam nurani.

Ustaz Hafizurrahman menoleh ke sebelah kiri. Terpampang Nile Books Centre yang menyimpan khazanah ilmu yang tidak kurang hebatnya. Beg hitam yang terletak di atas meja dibuka zipnya. Seberkas fail yang tersusun rapi dikeluarkan. Dibuka sekali lalu. Salinan rekod disiplin, surat amaran, salinan rekod kedatangan dan biodata peribadi pelajar ditatap sejenak. Dibaca seketika. Nafas dilepaskan sekali. Terhimbau seketika kata-kata cikgu Qasyidah pagi tadi.

“Ustaz, Ikram tidak hadir lagi. Saya takut dia ketinggalan dalam pelajaran. SPM tinggal beberapa bulan. Saya tahu dia pelajar cemerlang. Tapi, kalau berterusan begini, buruk padahnya nanti!” Leter cikgu Qasyidah, panjang berjela. Ustaz Hafizurrahman memandang. Kemudian, mengatup kelopak matanya perlahan.
“Insya-Allah, saya akan jumpa Ikram nanti. Terima kasih, cikgu,” balas Ustaz Hafizurrahman bersahaja. Cikgu Qasyidah menelan air liur seteguk. Kemarahan yang diberi bersambut kelembutan bicara.
“Ustaz,” tegur Ikram Ilhami. Serta-merta lamunan Ustaz Hafizurrahman pecah dalam sorotan kenangan.
“Apa khabar, Ikram?” Soal Ustaz Hafizurrahman sambil tersenyum.
“Baik. Alhamdulillah, ustaz,” balas Ikram Ilhami. Segera data maklumat di tangan dihulurkan.
“Lihatlah. Jika perlukan apa-apa, beritahu saya,” ujar Ustaz Hafizurrahman, tanpa banyak bicara. Ikram Ilhami menyambut. Isi dibuka. Dibaca. Lima minit berlalu.
“Ustaz, saya……….”
“Saya faham. Begini, Ikram. Saya harap awak ambil part time saja kerja ‘ni. Itu saja jalan penyelesaian yang saya nampak setakat ‘ni,” tegas Ustaz Hafizurrahman. Ikram Ilhami tidak terkata. Bicara Ustaz Hafizurrahman biasa sahaja tetapi cukup berkesan di hati.
“Insya-Allah, ustaz,” balas Ikram Ilhami
“Saya akan datang membantu nanti,” ujar Ustaz Hafizurrahman, jujur.
“Di sini?” Ikram Ilhami terpana terus. Ustaz Hafizurrahman mengangguk. Senyuman nipis terukir indah di bibir. Benarkah?
“Jadikan masalah keluarga sebagai inspirasi untuk mengecap kejayaan, Ikram,” ujar Ustaz Hafizurrahman membakar semangat juangnya.

Ikram Ilhami sudah dikenali Ustaz Hafizurrahman. Anak muda berusia tujuh belas tahun ini adalah anak sulung lima adik-beradik. Ayahnya jadi pemabuk setelah hilang pekerjaan. Ibunya sekadar suri rumah tangga. Ikram Ilhami terjepit dalam perbalahan bebanan keluarga. Sebagai guru kelas tingkatan Lima Sains Taqarrub, Ustaz Hafizurrahman begitu prihatin terhadap anak-anak didiknya yang menjadi tulang belakang kejayaan sekolah. Berbekalkan 9A dalam PMR, Ikram Ilhami menjadi sandaran cemerlang dalam SPM.

Acapkali Ustaz Hafizurrahman muncul di depan mata dengan sejumlah soalan dan nota padat. Pengajarannya amat berkesan dengan amalan peta konsep. Yang menakjubkan, Ustaz Hafizurrahman bukan sekadar menguasai Pendidikan Islam. Bahkan, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Bahasa Malaysia. Lebih menarik, pendekatan ICT digunakan untuk menjimatkan masa dan tenaga. Paling mengkagumkan, guru cemerlang program bestari ini begitu sabar melayan kerenah anak remaja kota bernama Ikram Ilhami.

Jelas dalam pengetahuan Ikram Ilhami, Ustaz Hafizurrahman adalah pelajar terbaik SAMT aliran sains yang dianugerahkan segulung ijazah Lughatul Arabiyah lulusan al-Azhar dengan pangkat Mumtaz. Sesuatu yang jarang dicapai oleh anak Malaysia di Timur Tengah. Apatah lagi, guru yang baik hati ini baru sahaja menyudahkan PhD dalam bidang falak. Kajian astronomi tentang matahari dalam sistem bima sakti berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Namun, Ustaz Hafizurrahman tetap merendah diri. Dedikasi usahanya, lemah lembut tuturnya, jitu tekadnya dan ikhlas nuraninya. Segalanya terlukis di wajah putih bercahaya.

“Terima kasih, ustaz,” luah Ikram Ilhami. Ustaz Hafizurrahman sekadar tersenyum. Lelah yang menghinggap hilang serta-merta.
“Berterima kasihlah pada-Nya. Ikram Ilhami maksudnya ideaku murni. Smart study. Solat tahajjud jangan lupa setiap hari. Insya-Allah, berjaya,” pesan Ustaz Hafizurrahman. Ikram Ilhami menelan air liur sendiri. Tidak tergambar betapa mahalnya nasihat yang diberi. Dapatkah digalas sebaik mungkin nanti? Insya-Allah!
“Saya pulang dulu. Assalamualaikum,” luah Ustaz Hafizurrahman, pendek.
“Waalaikumussalam,” balas Ikram Ilhami. Tangan bertukar jabat. Segera dicium perlahan. Jabat tangan terlerai. Kemudian, Ustaz Hafizurrahman berlalu. Menaiki LRT Putra menuju destinasi. Ikram Ilhami hanya memandang jauh dengan ekor matanya. Alangkah baik budi luhur yang ditaburkan Ustaz Hafizurrahman. Mampukah dibalas? Entahlah!

Seusai keputusan SPM diumumkan, Ikram Ilhami merakam rasa syukur tidak terhingga. Sebaik sahaja dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM dengan perolehan 12A1, kelibat Ustaz Hafizurrahman dicari. Setiap penjuru sekolah diteroka. Namun, bayangan Ustaz Hafizurrahman tidak jua ditemukan. Ke mana? Hairan! Ya Allah, terlalu ingin aku menemui guru yang begitu banyak menabur bakti. Tanpanya siapalah aku! Detak hati Ikram Ilhami sendiri. Sesuatu tiba-tiba tercerna di ruang ingatan. Ya Allah, aku belum sujud menghadap-Mu? Keluh hati Ikram Ilhami . Segera dia ke surau di hadapan sekolah. Wuduk diambil cermat. Kesyukuran dalam hati dipahat. Terasa ada air hangat yang jatuh menitik lambat atas sejadah berbaldu kuning keemasan tatkala bersujud pada-Nya. Salam diucapkan. Doa dipanjatkan. Sejenak terasa seperti ada seseorang memerhati. Ikram Ilhami menoleh. Ustaz Hafizurrahman yang beriktikaf tersenyum ke arahnya. Segera bingkas. Mendekat. Mencium tangan serta menunjukkan slip keputusan SPM di tangan. Ustaz Hafizurrahman menatap. Ada segaris cahaya terpamer di wajah Ustaz Hafizurrahman.

“Selamat hari guru, ustaz walaupun terlalu awal diucapkan. Terimalah kejayaan ini sebagai hadiah ikhlas daripada saya,” luah Ikram Ilhami, bersemangat. Ustaz Hafizurrahman tetap mengukir senyuman yang tidak pernah pudar.
“Hadiah ini akan saya ingat sampai bila-bila,” balas Ustaz Hafizurrahman, ikhlas. Bunga keriangan serta-merta mekar di laman hati Ikram Ilhami. Terima kasih, ustaz. Betik hati Ikram Ilhami.
"Saya takkan lupakan budi ustaz," luah Ikram Ilhami, jujur. Ustaz Hafizurrahman beriak tenang meskipun di lubuk hati yang paling dalam, kesebakan menggunung tinggi.
“Tahniah. Apakah langkah awak seterusnya?” Tanya Ustaz Hafizurrahman, membungkus kepiluan.
“Menurut jejak ustaz. Menjadi guru yang berdedikasi,” luah Ikram Ilhami. Ustaz Hafizurrahman menggeleng lemah. Serta-merta dahi Ikram Ilhami berkerut kehairanan.
“Bukan sekadar guru, Ikram. Jadilah mudarris, murabbi yang mursyidi. Nescaya redhalah seluruh penghuni langit dan bumi,” ujar Ustaz Hafizurrahman. Sebak menggunung dalam dada ditahan separuh hati.
“Pulanglah. Khabarkan kejayaan awak kepada keluarga. Saya yakin kebahagiaan yang awak harapkan akan menjelma,” luah Ustaz Hafizurrahman, tenang. Ikram Ilhami melepaskan kelegaan. Perlahan-lahan melangkah keluar. Menyarung kasut ke kaki. Ketika hampir di pintu pagar sekolah, cikgu Qasyidah menegur.
“Tahniah, Ikram. Saya tumpang gembira atas kejayaan awak,” luah cikgu Qasyidah.
“Terima kasih, cikgu. Tanpa bantuan Ustaz Hafizurrahman, saya tidak akan mencapai kejayaan ini,” balas Ikram Ilhami. Cikgu Qasyidah yang bertudung ungu muda terus menunduk. Wajahnya tiba-tiba berubah sugul.
“Kenapa cikgu?” Tanya Ikram Ilhami. Cikgu Qasyidah kembali mendongak.
“Err…saya baru saja pulang menziarahi jenazah Ustaz Hafizurrahman,” balas cikgu Qasyidah, tersekat-sekat nada suaranya.
Dus! Ikram Ilhami terkesima terus. Seperti tidak percaya. Masakan? Baru sebentar tadi berbual-bual dengannya! Getus Ikram Ilhami. Anak muda itu terus meluru ke dalam surau. Pintu dikuak kasar. Melangkah ke dalam. Mata tidak lepas memandang ke serata sudut. Yang dicari tidak ditemukan. Lalu, siapakah yang ditemui? Sukma tiba-tiba terasa kosong. Hampa. Ikram Ilhami terduduk kaku di lantai. Tubuh disandarkan ke dinding. Ucapan Selamat Hari Guru itu rupanya yang terakhir diungkapkan. Sejurus Ikram Ilhami menumpahkan seluruh titik beningnya di alur pipi. Ya Allah, Engkau yang Maha Penyayang! Rintih hati Ikram Ilhami.

No comments:

Post a Comment