Thursday, November 4, 2010

(Offical video ) Sami Yusuf - Healing ( lyrics ) مترجمة للعربيّة

Healing From Sami Yusof
Penyanyi asal keturunan Turki ini tersohor dengan lagu-lagu dakwah yang kontemporari dan sederhana sifatnya. Oleh itu, inilah album ketiganya sesudah Al-Muallim dan My Ummah yang cukup dikenali di seluruh dunia.
Mendengar lagu ini mendekatkan diri kita pada Pencipta Yang Maha Esa. Apabila kita sentiasa membantu orang lain dengan ikhlas, maka ganjaran akan diperoleh. Bukan oleh diri kita sendiri, tetapi oleh mereka yang cukup hampir dalam kehidupan kita seperti ayah, ibu, kakak, abang, adik, anak, isteri dan sanak-saudara kita yang tercinta.
Sesungguhnya, setiap kebaikan yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah setimpal dengan apa yang kita lakukan. Yang baik, akan dibalas dengan kebaikan. Yang buruk, akan dibalas dengan keburukan sekiranya kita masih enggan memohon kemaafan dan keampunan dariNya. Jadilah, umat Islam yang bukan sahaja berbuat baik sesama kita. Bahkan, jadilah insan yang sentiasa menabur kebaikan untuk semua tidak mengira agama, bangsa mahupun negara. Yang pasti, Tuhan kita adalah sama sekalipun dengan pelbagai nama. Akhirnya, kita sendiri akan kembali dalam pangkuanNya.

Monday, May 24, 2010

DADAH BENCANA NEGARA

Dalam dakapan sangkar kerikil besi yang tajam

Terjelma seribu penyesalan di lubuk nubari tercipta

Angkara dadah musuh utama durjana

Menikam-nikam seluruh denyut nadi kehidupan bertakhta

Morfin, heroin, kokain, ketamin. Kodien, candu, syabu, ekstasi, ganja dan marijuana

Ganas menggila menggoda tisu-tisu nafsu petaka

Segalanya meresap ke pembuluh darah manusia-manusia yang leka

Membinasa anak-anak bangsa yang terpana jiwanya.


Tatkala menjadi hamba najis bencana direnggut padah

Dadah meraja tubuh mendukung musibah

Detik-detik hitam mencamur dinding-dinding maruah

Prinsip dipasak tergelincir di kaki hina yang membarah

Yang dicari hanya sedetik bahagia percuma berwajah

Harapan penderitaan tidak mungkin disanggah.


Satu Malaysia bersuara berbicara

Bangunlah duhai anak-anak bangsa

Demi bunga pertiwi yang kian layu di taman astaka

Bersatu tenaga tanpa ragu dan alpa

Sederap langkah membangun wawasan nusa

Menghindar ancaman perosak khazanah negara

Berkorban menuju cemerlang, gemilang, terbilang sentiasa.


Dadah durja dimurka negara

Menjinjing binasa pusaka nuansa

Menggugat masyarakat harmoni terpenjara.

Hindarkan hapuskan dadah pemusnah ternama

Usah terleka meskipun negara aman ketara

Berjaga-jaga pada anasir yang mencamuk dalam lupa.


Sehati sejiwa bangsa terbela

Dadah bencana negara

Satu Malaysia banteras segera

.

Nazad Ariff 2010


Sempena Pertandingan Pendidikan Pencegahan Dadah

Deklamasi Sajak PPDA Zon Bangsar di SMK TTDI, Kuala Lumpur.

Wednesday, March 3, 2010

NUR MUHAMMAD S.A.W : QUDWAH HASANAH


Tatkala gelita menyelubung dunia hadharah
percikan nur cinta quddus-Nya bicara hikmah
di tengah tanah gersang penuh debu jahiliyah
rahmat kelahiran putera Bakkah
meruntun keangkuhan manusia Abrahah
nafsu keegoan sombong melanggar Makkah
megah bersama tentera bergajah
musnah disambar bara angkara Ababil kiriman Allah.

Sifatul Anbiya' tuntutan sunnah
memecah jiwa kematu berinti sayyi'ah
mendukung hidayah mempertahan diniyyah
teraju kepimpinan seluruh ummah
sederap kaki melangkah menuju halaqah
meraih keredhaan memetik mawaddah
hanya pada Allah tempat dipasrah.

Nur Muhammad tercipta sejuta mahabbah
Rasulullah utusan Rab pelengkap amanah
mengetuk ketulusan di pintu-pintu jannah
menyulami keimanan di sejadah mutmainnah
bersujud insan ukhrawi di bumi bertuah
menjana duniawi di atas titian karimah.

Rasulullah s.a.w qudwah hasanah
Ihya' as-Sunnah berpaut seribu sa'adah
jitu memaut tangan berakad Aqabah
segalanya berteduh di bawah pohon sakinah
lalu bersatu membentuk jamaah
memantap ukhuwah memperkasa ummah.

Menghidupkan sunnah Rasulullah
amalan terpuji menghias ruhiyyah
Nur Muhammad bersaksikan syahadah
zahiri toyyibah batini nazifah.


Rizan Hijazi
12 Rabiul Awal 1431 Hijrah

Sambutan Maulidur Rasul 1431 H SMK Petaling 2010
5 Mac 2010