Saturday, September 19, 2020

KEMBALI MENUKIL BICARA


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sudah 6 tahun tidak menukilkan madah. Bungkam membisu merenung kehidupan. Menatap perubahan dunia. Ketika dunia dilanda wabak corona covid 19, segalanya bertukar sepi. Berjuang dalam senyap menghidupkan suasana tenang dalam kekalutan. Terus sabar meskipun tekanan makin membuak. Biarpun dugaan sangat mencabar, hati tetap teguh dalam damai yang berkocak. Ya Allah, dengan rendah hati aku memohon. Kuatkan semangatku. Kukuhkan imanku agar aku terus tidak melupakan Mu. Pencipta segala sesuatu. Lantaran itu, aku memanjatkan rasa kesyukuran atas pemberianMu yang sangat bermakna. Alhamdulillah. Syukran atas segalanya.
Ahad, 1.36 p.m, 20/09/2020❤

Wednesday, July 30, 2014

ISRAEL SUDAH KALAH PERANG

Israel sudah kalah perang
Perintah Tuhan mereka curang
Terkenal dengan amalan songsang
Pembalasan Allah pasti datang

Israel sudah kalah perang
Benderanya berkibar separuh tiang
Pasti ada air mata berlinang
Mengenang zionis tersayang

Israel sudah kalah perang
Tanpa senjata, lembik macam bengkang
Propaganda asal dari longkang
Ada yang kata elok bakar macam lemang

Israel sudah kalah perang
Mulutnya busuk persis kerang
Lidahnya pula banyak bercabang
Bila bersemuka tidaklah se-garang

Israel sudah kalah perang
Zionis memang kuat temberang
Bakal pecah segala tembelang
Pemimpin mereka hantu jembalang

Israel sudah kalah perang
Baru tahu di Gaza banyak pejuang
Perintah Allah mereka pegang
Kemenangan pasti akan datang

Israel sudah kalah perang
organisasinya jenayah terancang
dengan Amerika ada di belakang
mereka buat jahat tiada siapa yang halang

Israel sudah kalah perang
Sudah banyak pecah lubang
Dan langgar etika berperang
Janganlah sampai suka main belakang

Israel sudah kalah perang
Di akhirat nanti darah, nanah terhidang
Bagi hati yang hitam macam arang
Siapa yang sokong ternyata bangang

Israel sudah kalah perang
Kakinya menggigil angkat senapang
Siren berbunyi.. lari lintang-pukang
Roket datang, mereka sembunyi masuk sarang

Israel sudah kalah perang
Mereka ini asalnya pendatang
Tiada akar, entah dari mana tumbuhnya batang
Berbuat onar di negeri orang

Israel sudah kalah perang
Habis peluru, makanlah arang
Lepas itu jamahlah belerang
Tuhan memang tak sebelahi korang

Israel sudah kalah perang
Tak pandai bertarung, macam belakang parang
Kalau sembang selalunya kencang
Sebenarnya mereka itu pincang

Israel sudah kalah perang
Yahudi tunjuk pandai di luar bidang
Dengan si kecil pun nak tunjuk pailang
Qassam memanggil.. jemputlah datang

Israel sudah kalah perang
Lain padang, lain belalang
Tapi kita masih ramai 'lalang'
Patut tangkap simpan dalam balang

Israel sudah kalah perang
Produk jualan semakin berkurang
Ekonominya lembut serupa kentang
Perangai teruk serupa binatang

Israel sudah kalah perang
Uncle Sam sudah naik berang
Ironinya USA pula yang tempang
Maklumlah adat menumpang

Israel sudah kalah perang
Bunuh anak kecil apa barang
Di akhirat sana si kecil riang
Di syurga sana bebas pendatang

Israel sudah kalah perang
Tanda Yahudi gagal merancang
Peliknya ada orang lain terasa bahang
Tentunya sebab mereka sokong orang pincang

Israel sudah kalah perang
Nyawa Yahudi terbang melayang
TV dan radio cerita gampang
Media zionis sudah lubang macam lompang

Israel sudah kalah perang
Dr M kritik Zionis terkangkang
Kalau berdepan depa dah kena lempang
Baru kenal ini Malaysia punya orang

Israel sudah kalah perang
sebab Quran mereka tak pernah pegang
dan juga banyak melanggar pantang
akhirnya mereka jatuh terlentang

Israel sudah kalah perang
Sejagat alam sambut dengan girang
Sudah pasti ada yang berkompang
Dunia tengok sambil makan kacang

Tuesday, July 15, 2014

GAZA DISERANG ZIONIS. HAMAS TIDAK BERDIAM DIRI

Ramadhan Karim Bil Murabak 1435H tahun 2014 ini adalah tahun kejituan dalam beribadat. Berlitupkan amalan qiamullail, tadarus al-Quran, zikrullah, bersedekah, majlis iftar, sahur dan zakat fitrah maka Ihya' Ramadhan diserikan dengan kehadiran Lailatul Qadar yang menjadi penyembuh segala dosa dengan pahala digandakan dan rahmat Allah S.W.T turun dengan mencurah-curah. 
Namun, di Palestin terutama sekali di jalur Gaza, seluruh penduduknya menghadapi penderitaan dengan hujanan roket, peluru oleh rejim Zionis tanpa mengenal perikemanusiaan. Mereka tanpa belas kasihan membunuh wanita yang tidak berdaya dan kanak-kanak yang tidak mengenal erti apa-apa. Yang mereka mahukan adalah ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan dengan kesyukuran atas nikmat Ilahi.
Justeru, hanya dengan benteng keimanan semata-mata mereka mengharapkan keagungan Allah S.W.T bagi melindungi mereka dari segala malapetaka yang melanda. Beratus-ratus rakyat terkorban dan beribu-ribu manusia cedera. 
Yang pasti, mereka tetap hidup dalam penderitaan. Mereka tidak takut mati menghadapi kelangsungan hidup. Syahid itu adalah cita-cita mereka. Maka, HAMAS sebagai penjaga Baitul Muqaddis tidak berdiam diri. Dilancarkan berpuluh-puluh roket yang mampu menakutkan jiwa-jiwa musuh Allah S.W.T.
Di sinilah berhimpunnya Imam Mahdi dalam solat Suboh berjamaah. Di sinilah juga Isa Al-Masih a.s akan hadir mengetuai serangan membunuh Dajjal Al-Masih. Kemudian, akan mendukung kesejahteraan, keamanan dan kesuburan iman dalam jiwa pencinta-cinta Rab yang Maha Esa. Bantulah Gaza walaupun dengan hanya secebis doa qunut nazilah agar Allah S.W.T sentiasa melindungi mereka dengan kebijaksanaanNya.

Thursday, September 19, 2013

KARYA PERTAMA


Tajuk : Duri Sarajevo
Pengarang : Mohammad Nazir Saad
Terbitan : Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun : 1998
Muka Surat: 199 halaman
Tema : Perjuangan
Harga : RM 12.90
Sinopsis : Di sini hatinya teruji. Diharungi perjuangan ini walau dugaan yang datang bagai meragut kesabaran tapi baginya apalah ertinya sebuah kebahagiaan seandainya ada insan yang melarat terbiar. Alangkah sukarnya menghadapi kegetiran yang berlarutan.....

Sunday, September 15, 2013

JIHAD TERAKHIR UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN

Kemunculan Dajjal bersama tentera-tenteranya semakin hampir. Kekejaman sekutunya, Syiah di bumi Syria amat menyerlahkan kemunafikan mereka. 70 000 tentera bakal bergabung bersama Dajjal al-Masih dan Iblis laknatullah. Umat Islam sedang mara berhimpun di bawah panji hitam di bumi Khurasan yang meliputi Afghanistan, Tajikistan. Turkistan, Syria, Krgystan, Turkmenistan dan yang datang dari pelbagai pelusuk dunia untuk bersatu sebagaimana janji Allah SWT dalam hadis Rasulullah SAW dengan kelahiran al-Mahdi dan turun Nabi Isa a.s. Di bawah kalimah La Ilaha Illallah Wa Muhammadar Rasulullah puak-puak Sunni dan Ahlul Bait yang tertindas dan sentiasa ampuh dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang terbaik dan terpilih menghadapi Zionist Yahudi, Syiah, AS dan tentera Eropah mempertahankan kedaulatan Daulah Khilafah. Makanan tentera-tentera Islam Mujahidin cuma zikrullah. Maka, dengan izin Allah SWT mereka akan bersama panji putih untuk mendakap redhaNya melalui jalan syuhadah. Insya-Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. 

Friday, April 6, 2012

JELAPANG KASIH

SINOPSIS NOVEL TERBARU 2012

Kata orang, hendak menguji setia atau tidaknya seseorang sahabat tunggulah di kala derita. Begitulah persahabatan yang terjalin di antara Iqbal dan Azam. Jelapang Kasih mengisahkan tentang persahabatan dua mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya yang erat sejak mula-mula menjejakkan kaki di menara gading. Azam merupakan seorang anak ahli perniagaan yang begitu berjaya dalam karier, tetapi sentiasa terabai kasih sayang dalam keluarganya. Manakala Iqbal pula adalah anak sulung dalam keluarga miskin yang penuh dengan masalah yang tersendiri.
Mereka ibarat paha kanan dicubit, paha kiri terasa juga sakitnya. Jalinan persahabatan yang bersimpul erat ini terpaksa merempuh badai kehidupan yang kadang-kadang beralun kencang. Seketika hubungan mereka menjadi renggang. Dan pada ketika yang lain, kasih di antara mereka kembali bertaut.
“Kita orang Islam, Zam. Segala perjalanan kita ini sudah ditentukan oleh-Nya,”
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya,”
“Iq, terima kasih atas manisnya persahabatan yang engkau hulurkan sekian lama ini,”
Arina, Maizatul Akma, Syafinaz, Adila, Sofia. Mereka sekadar mampu mengusik rasa hati para jejaka. Ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Azam daripada pengetahuan Iqbal. Apakah rahsia tersebut? Apabila terbongkar, ramai rakan-rakan seperjuangan menjauhkan diri. Namun, Iqbal semakin mendekat. Anehnya, rahsia Iqbal sendiri begitu kuat tersimpan yang menuntut sejumlah pengorbanan murni.
“Jelapang kasih yang menghijau sudah menguning keemasan. Tuailah dengan kesabaran dan kejujuran. Nescaya kemesraan akan terurai dengan kepercayaan dan keyakinan, Zam,”
Akan berakhirkah episod persahabatan yang dilukiskan di kanvas nurani?
Rizan Hijazi 2012

Friday, February 4, 2011

DEMONSTRASI RAKYAT MESIR : SATU RENUNGAN


Demonstrasi sejuta rakyat Mesir menolak pemerintahan diktator rejim Hosni Mubarak selama 30 tahun sewajarnya menjadi iktibar buat kita. Kekangan terhadap kebebasan demokrasi, pengangguran yang meluas, ekonomi yang tidak banyak berubah serta kesedaran terhadap pentingnya Islam diletakkan ke mercuNya kembali adalah menjadi punca utama kebangkitan tersebut. Hal demikian telah menyebabkan 11, 319 orang rakyat Malaysia yang menuntut di sana sama ada yang menginap di Tanta, Madinah Nasr, Mansuroh, Alexandria, Abbasiah, dan sebagainya terperangkap dalam kecamuknya demonstrasi yang bertukar menjadi rusuhan. Keselamatan mereka terancam oleh rompakan, bekalan makanan berkurangan, dan komunikasi yang tersekat menyebabkan keadaan mereka menjadi tanda tanya semua rakyat Malaysia. Walaupun proses evakuasi sedang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia melalui TUDM, TLDM, MAS dan AirAsia. Namun, kebanyakan keluarga yang terlibat belum boleh menarik nafas lega selagi anak-anak mereka tidak pulang dengan selamat dan berada di hadapan mereka. Walau bagaimanapun, setinggi-tinggi ucapan jutaan terima kasih atas tanggungjawab Kerajaan Malaysia membawa mereka pulang sekalipun ada banyak keresahan atas tindakan yang lewat dilakukan.
Merujuk kepada momentum rakyat Mesir bangkit dalam usaha memperkasakan demokrasi yang dikatakan diinspirasikan dengan keadaan di Tunisia. Sebenarnya, kebangkitan itu telah bermula sejak tahun 1949. Insiden syahidnya Syeikh Hassan Al-Banna membuka minda rakyat Mesir ke arah kesedaran beragama untuk meletakkan Islam di atas mercu-Nya. Bererti sudah lebih 60 tahun, Ikhwanul Muslimin menunggu dengan sabar agar Mesir kembali bersinar dengan cahaya Islamnya.
Kini, masanya telah tiba wilayah Timur Tengah menjatuhkan pemimpin-pemimpin yang pro AS dan Israel agar umat Islam dapat bersatu menegakkan kembali Khilafah Islamiah. Meskipun sejarah sudah membuktikan Islam berjaya mensejahterakan seluruh umat manusia di dunia. Namun, tidak begitu ramai musuh Islam yang menafikan fakta tersebut. Maka, pamerkanlah akhlak yang mulia bagi menarik minat bukan Islam memahami apa itu Islam sebenarnya.
Generasi muda perlulah celikkan mata kerana kebahagiaan yang hakiki bukan terletak pada duniawi semata-mata. Bahkan, perlu dipersiapkan untuk keperluan ukhrawi. Jangan biarkan diri hanyut dalam godaan dunia yang menipu. Bangkitlah dan sedarlah peranan anda dalam memakmurkan dunia hari ini. Demi Allah dan Rasul-Nya, bergeraklah maju ke hadapan dengan meletakkan agama di atas pundak kalian. Insya-Allah, segalanya akan membuahkan pahala yang berlipat kali ganda. Ikhlaskan hati, nescaya keredhaan-Nya sentiasa di sisi.
Kekuatan Islam itu akan kembali gemilang dengan meletakkan keadilan bagi mengembalikan kesejahteraan manusia di muka bumi ini. Siapa lagi yang perlu meletakkan Islam kembali ke dalam nubari, kalau bukan kita sendiri, umat Islam yang sangat cintakan Tuhan Yang Maha Esa.

Thursday, November 4, 2010

(Offical video ) Sami Yusuf - Healing ( lyrics ) مترجمة للعربيّة

Healing From Sami Yusof
Penyanyi asal keturunan Turki ini tersohor dengan lagu-lagu dakwah yang kontemporari dan sederhana sifatnya. Oleh itu, inilah album ketiganya sesudah Al-Muallim dan My Ummah yang cukup dikenali di seluruh dunia.
Mendengar lagu ini mendekatkan diri kita pada Pencipta Yang Maha Esa. Apabila kita sentiasa membantu orang lain dengan ikhlas, maka ganjaran akan diperoleh. Bukan oleh diri kita sendiri, tetapi oleh mereka yang cukup hampir dalam kehidupan kita seperti ayah, ibu, kakak, abang, adik, anak, isteri dan sanak-saudara kita yang tercinta.
Sesungguhnya, setiap kebaikan yang kita lakukan akan dibalas oleh Allah setimpal dengan apa yang kita lakukan. Yang baik, akan dibalas dengan kebaikan. Yang buruk, akan dibalas dengan keburukan sekiranya kita masih enggan memohon kemaafan dan keampunan dariNya. Jadilah, umat Islam yang bukan sahaja berbuat baik sesama kita. Bahkan, jadilah insan yang sentiasa menabur kebaikan untuk semua tidak mengira agama, bangsa mahupun negara. Yang pasti, Tuhan kita adalah sama sekalipun dengan pelbagai nama. Akhirnya, kita sendiri akan kembali dalam pangkuanNya.

Monday, May 24, 2010

DADAH BENCANA NEGARA

Dalam dakapan sangkar kerikil besi yang tajam

Terjelma seribu penyesalan di lubuk nubari tercipta

Angkara dadah musuh utama durjana

Menikam-nikam seluruh denyut nadi kehidupan bertakhta

Morfin, heroin, kokain, ketamin. Kodien, candu, syabu, ekstasi, ganja dan marijuana

Ganas menggila menggoda tisu-tisu nafsu petaka

Segalanya meresap ke pembuluh darah manusia-manusia yang leka

Membinasa anak-anak bangsa yang terpana jiwanya.


Tatkala menjadi hamba najis bencana direnggut padah

Dadah meraja tubuh mendukung musibah

Detik-detik hitam mencamur dinding-dinding maruah

Prinsip dipasak tergelincir di kaki hina yang membarah

Yang dicari hanya sedetik bahagia percuma berwajah

Harapan penderitaan tidak mungkin disanggah.


Satu Malaysia bersuara berbicara

Bangunlah duhai anak-anak bangsa

Demi bunga pertiwi yang kian layu di taman astaka

Bersatu tenaga tanpa ragu dan alpa

Sederap langkah membangun wawasan nusa

Menghindar ancaman perosak khazanah negara

Berkorban menuju cemerlang, gemilang, terbilang sentiasa.


Dadah durja dimurka negara

Menjinjing binasa pusaka nuansa

Menggugat masyarakat harmoni terpenjara.

Hindarkan hapuskan dadah pemusnah ternama

Usah terleka meskipun negara aman ketara

Berjaga-jaga pada anasir yang mencamuk dalam lupa.


Sehati sejiwa bangsa terbela

Dadah bencana negara

Satu Malaysia banteras segera

.

Nazad Ariff 2010


Sempena Pertandingan Pendidikan Pencegahan Dadah

Deklamasi Sajak PPDA Zon Bangsar di SMK TTDI, Kuala Lumpur.

Wednesday, March 3, 2010

NUR MUHAMMAD S.A.W : QUDWAH HASANAH


Tatkala gelita menyelubung dunia hadharah
percikan nur cinta quddus-Nya bicara hikmah
di tengah tanah gersang penuh debu jahiliyah
rahmat kelahiran putera Bakkah
meruntun keangkuhan manusia Abrahah
nafsu keegoan sombong melanggar Makkah
megah bersama tentera bergajah
musnah disambar bara angkara Ababil kiriman Allah.

Sifatul Anbiya' tuntutan sunnah
memecah jiwa kematu berinti sayyi'ah
mendukung hidayah mempertahan diniyyah
teraju kepimpinan seluruh ummah
sederap kaki melangkah menuju halaqah
meraih keredhaan memetik mawaddah
hanya pada Allah tempat dipasrah.

Nur Muhammad tercipta sejuta mahabbah
Rasulullah utusan Rab pelengkap amanah
mengetuk ketulusan di pintu-pintu jannah
menyulami keimanan di sejadah mutmainnah
bersujud insan ukhrawi di bumi bertuah
menjana duniawi di atas titian karimah.

Rasulullah s.a.w qudwah hasanah
Ihya' as-Sunnah berpaut seribu sa'adah
jitu memaut tangan berakad Aqabah
segalanya berteduh di bawah pohon sakinah
lalu bersatu membentuk jamaah
memantap ukhuwah memperkasa ummah.

Menghidupkan sunnah Rasulullah
amalan terpuji menghias ruhiyyah
Nur Muhammad bersaksikan syahadah
zahiri toyyibah batini nazifah.


Rizan Hijazi
12 Rabiul Awal 1431 Hijrah

Sambutan Maulidur Rasul 1431 H SMK Petaling 2010
5 Mac 2010

Wednesday, November 4, 2009

MAJLIS ANUGERAH ASRAMA PUTERA SMKP 2009


BAIT TOLABAH

Asrama Putera
Megah teguh persada dijulang
Menongkah cuaca terik dan basah
Meneduh insan cintakan ilmiah
Berusaha tanpa mengenal penat lelah
Mendaki tangga ke puncak natijah.

Asrama Putera
Dari pagar bait tolabah ke pintu dirasah
Menyidai amalun di tangkai qalbun
Mencipta indah gemilang masyhurah
Nubari tersirna cahaya putih nazifah.

Asrama Putera
Menjanjikan semangat kendiri hasanah
Jati diri membentuk karamah
Nurani kelam berwajah munirah
Segalanya bermula safarah
dengan langkah afdhaliyah.

Asrama Putera
Dampingimu suatu sakinah
Menuju toyyibah berinti futuwwah
Harapan saadah di jendela al-falah
Lantai mawaddah berlapik tikar fatonah.

Asrama Putera
Bait Tolabah
Madrasah ukhuwwah.


Nazad Ariff
2 November 2009

Saturday, October 31, 2009

15 MUSUH IBLIS & 10 SAHABAT IBLIS : SUATU RENUNGAN

Menurut riwayat Wahab bin Munbih, pernah terjadi peristiwa di mana Allah S.W.T memerintahkan agar Iblis menemui Nabi Muhammad s.a.w dan menjawab segala pertanyaan yang diajukan oleh baginda. Lalu, Iblis pun mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w dengan menyamar sebagai seorang yang tua bangka yang sedang memegang tongkat.
Nabi s.a.w bertanya :
"Siapakah anda?"
"Saya Iblis," jawab Iblis tersebut.
"Apakah maksudmu, datang?" Tanya Rasulullah s.a.w.
"Tuhan memerintahkanku supaya menemui anda dan menjawab segala pertanyaan anda," jawab Iblis.
"Wahai iblis, berapakah banyaknya musuh-musuhmu dari umatku?" Tanya Rasulullah s.a.w.
"Lima belas orang," jawab Iblis.
"Siapakah mereka?"
  1. Nabi Muhammad s.a.w
  2. Imam yang adil
  3. Orang kaya yang rendah hati
  4. Pedagang yang jujur
  5. Orang alim yang solatnya khusyuk
  6. Orang beriman yang suka memberi nasihat
  7. Orang beriman yang pengasih
  8. Orang yang taubat dan tetap atas taubatnya
  9. Orang yang tidak mahu berbuat kemungkaran
  10. Orang beriman yang sentiasa berwudhuk
  11. Orang beriman yang banyak bersedekah
  12. Orang beriman yang berkelakuan baik
  13. Orang beriman yang memberi manfaat kepada orang lain
  14. Orang yang mengamalkan dan terus-menerus membaca al-Qur'an
  15. Orang yang menegakkan ibadat pada waktu malam, sedangkan orang lain tidur dengan nyenyaknya
Selanjutnya Rasulullah s.a.w bertanya pula.
"Berapakah banyak kawan-kawanmu dari umatku?"
"Sepuluh orang," jawab Iblis.
"Siapakah mereka?" Tanya Rasulullah s.a.w.
  1. Hakim yang tidak adil
  2. Orang kaya yang sombong
  3. Pedagang yang khianat
  4. Peminum arak
  5. Penghasut kepada orang lain
  6. Orang yang beramal kerana inginkan nama (riak)
  7. Orang yang memakan harta anak yatim
  8. Orang yang mempermudahkan solat
  9. Orang yang tidak mahu menunaikan zakat
  10. Orang yang suka termenung (mengelamun)
Renung-renunglah, siapakah diri kita sebenarnya?
(Gambar di atas adalah hiasan. Bukan realiti).

Wednesday, October 28, 2009

MEMBACA : SATU MALAYSIA

Iqra'
gema surah al-Alaq mengapung di jiwa

bacalah......3 X

menuntut ilmu suatu amanat dijaga rapi

anugerah bijak bestari idaman nurani

penentu masa depan cerlang gemilang.


Iqra'

bermula di alam rahim ibunda

berakhir di alam barzakh milik-Nya
membaca budaya amalan manusia

yang tidak pernah mengecewakan

terkabul hasrat cita-cita tersemat.

Iqra'

dari pagar madrasah ke pintu dirasah
membaca pengetahuan ditimba terserlah

mendakap keikhlasan sebuah perjuangan

satu Malaysia membaca dicipta

penuh cabaran mengisi layar kehidupan

derap langkah enggan berpaling

citra wawasan Malaysia terbilang.


Iqra'
anak-anak bangsa satu Malaysia

bacalah.....3 X

realiti berjaya.

Rizan Hijazi

28 Oktober 2009
Sempena Pelancaran Kempen Membaca Satu Malaysia

Tuesday, October 27, 2009

KANAK-KANAK DAGESTAN, RUSSIA BERSAMA AYAT-AYAT AL-QURAN PADA JASADNYA

Saat dan ketika kita terleka dengan kemewahan duniawi, tiba-tiba kita dikejutkan oleh satu peristiwa menakjubkan di bumi Dagestan, Russia. Seorang kanak-kanak lelaki memiliki beberapa potong ayat al-Quran yang tertulis lengkap berserta barisnya yang jelas dipaparkan di media antarabangsa. Doktor-doktor pakar begitu teruja ingin mengkaji sebab-musabab berlakunya kejadian tersebut terhadap darah yang terkandung dalam tubuh kanak-kanak berusia 9 bulan itu sehingga terpamer jelas pada betis, tangan, perut, dan kaki dalam tulisan berona merah. Inilah sebenarnya yang harus kita renungi. Kebesaran dan keagungan Allah S.W.T sewajarnya dikagumi dan diinsafi sepanjang kehidupan. Kejadian luar biasa ini juga perlu disyukuri nikmat-Nya biar pun berupa peringatan yang amat mahal harganya.
Saksikanlah keajaiban yang Allah S.W.T bukakan hijabnya agar kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa bertafakur mengadap-Nya. Apatah lagi, sebagai umat Islam yang dahagakan bukti keesaan-Nya seharusnya menjadikan segalanya ini sebagai suatu aspirasi murni ke arah menjadi seorang muslim, mukmin dan mukhsin.
Sama ada kita menganggap peristiwa tersebut sebagai pengajaran mahu pun amaran daripada Allah S.W.T, kita sendiri perlulah merasakan bahawa inilah penyaksian alam musyahadah yang jarang-jarang diperlihatkan. Maka, tetapkanlah iman dalam lingkungan orang yang soleh. Itulah langkah terbaik untuk sentiasa mendapat keredhaan_Nya di dunia dan di akhirat.

Monday, October 5, 2009

BAHASA ARAB : WASILAH LISAN TERUNGGUL

Bahasa Arab adalah merupakan salah satu wasilah lisan yang sangat unik sifatnya. Mempelajarinya biar pun dianggap sukar, namun kiranya minat yang dipupuk begitu mendalam akan meletakkan pecinta sangat berbahagia membuka mindanya dalam usaha memperkayakan ilmu kurniaan Ilahi. Menguasai bahasa lebih daripada satu adalah suatu keajaiban yang tidak harus dilepaskan. Selain bahasa ibunda dan bahasa Inggeris, bahasa Arab juga dikategorikan sebagai bahasa alamiah (antarabangsa). Satu-satunya bahasa yang Allah S.W.T titipkan dalam al-Qur'anul Azim. Mendukungnya sebagai satu fadhilat yang wajib dituntut dalam menerokai keilmuan duniawi dan ukhrawi, banyak manfaat yang kita perolehi. Jika tidak, masakan berduyun-duyun begitu teruja memahami al-Qur'an yang difirmankan dalam lughah (bahasa) yang sangat indah, tertib dan terpuji ini. Sebagai umat Islam, dapat mengetahui sedikit sebanyak kalimat bahasa Arab adalah sesuatu yang kadang-kadang memberi impak yang berkesan dalam mendepani perkembangan semasa yang mutakhir. Pelajarilah bahasa Arab dengan kesungguhan yang padu. Nescaya, kita tidak akan rugi apa-apa. Bahkan, beruntung dalam sepanjang hayat ini kerana menggunakan bahasa yang pernah dituturkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap dakwah baginda. Renung-renunglah kepentingan bahasa Arab dalam kehidupan ummah. Jadilah insan yang budiman dalam berbahasa meskipun payah menguasainya. Insya-Allah, akan dibukakan hijab dan dipermudahkan sirat. Amin.

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT MENYAMBUT IDUL FITRI 1430 H

Kullu 'Am Wa Antum Bi Khair kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ucapan takzim atas kemunculan Hari Raya Idul Fitri yang bakal menjelang kepada semua sahabat yang dikenali. Semoga Lebaran Idul Fitri pada tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan dalam kemeriahan. Maaf zahir dan batin dihulurkan sekiranya terluka jiwa kerana tutur bicara, dan tingkah laku yang kurang manis dalam pandangan. Semoga Hari Raya Idul Fitri kali ini membahagiakan kita baik di dunia mahu pun di akhirat. Segala persiapan yang diatur hendaklah memenuhi keperluan rohani dan jasmani. Dalam permusafiran Idul Fitri menuju ke kampung halaman, berhati-hatilah. Didoakan semoga selamat sampai ke destinasi. Syukran, atas keprihatinan rakan-rakan semua. Selamat Hari Raya Idul Fitri. Maaf zahir & Batin.

Tuesday, September 8, 2009

NUZUL AL-QUR'AN : HIKMAH PENURUNAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN

17 Ramadhan adalah merupakan peristiwa bersejarah dalam taqwim Islam. Nuzul al-Quran bermakna penurunan wahyu Allah S.W.T yang pertama. Ketika Nabi Muhammad s.a.w begitu susah hati meninjau kejahilan umat Arab di sekelilingnya, maka tergeraklah jiwa raganya untuk mengasingkan diri dari masyarakat yang sentiasa mabuk dengan hal-hal duniawi.
Budaya sosial mereka yang menyongsang daripada tabiat fitrah manusia begitu menyedihkan nurani baginda s.a.w. Justeru, dengan beruzlah di Gua Hira' diharapkan agar mampu menganugerahkan sedikit ketenangan. Lantaran itu, kerana cintanya Allah terhadap kekasih-Nya, maka diutuskan Jibril a.s untuk menghiburkan hati baginda s.a.w yang gundah gulana. Maka, hikmah penurunan surah Al-Alaq : ayat 1 - 5 sudah cukup membuktikan tentang syariat Allah S.W.T yang tidak sudi membiarkan hamba-Nya terbiar tanpa naskah panduan dalam kehidupan.
Beruntunglah kita kerana lahir sebagai muslim sejak mula. Biarpun sukar untuk menggapai mukmin, anggaplah ini sebagai satu cabaran dalam perjalanan yang kita lalui. Rasulullah s.a.w tidak meninggalkan harta yang sangat bernilai kecuali al-Qur'an dan As-Sunnah. Jadi, berusahalah untuk menjadi umat yang terbaik dalam pandangan Allah S.W.T.

Thursday, September 3, 2009

MEMBACA : ANTARA BUDAYA DAN CITA-CITA

Menurut semakan Kamus Dewan Edisi Keempat cetakan 2007, membaca bererti memerhatikan isi sesuatu yg tertulis atau tercetak dgn teliti dan memahamkan makna kandungannya demi mendapatkan ilmu pengetahuan. Manakala budaya pula bermaksud tamadun, peradaban dengan membiasakan sesuatu perilaku atau tingkah laku sosial yang baik yang kemudiannya menjadi adat dalam kehidupan seharian sama ada kepada individu mahupun kepada masyarakat. Sedangkan cita-cita adalah tujuan yg hendak dicapai atau yg hendak dilakukan bagi memperolehi hasrat yang murni.
Menuntut ilmu adalah merupakan suatu tuntutan bagi setiap makhluk yang bernyawa. Sudah pasti merupakan fitrah yang diperlukan bagi mengaplikasikan minda, ilmu sangat diperlukan. Justeru, setiap insan yang berakal memiliki kemampuan untuk mengetahui atau memaklumi kebenaran kenyataan tentang sesuatu. Oleh yang demikian, kesedaran membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia perlu dipesatkan melalui pelbagai cara dan bentuk bagi menarik minat mereka terhadap bahan ilmu pengetahuan.
Menurut kajian Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya, purata bilangan bahan bacaan yang dibaca dalam kalangan mahasiswa di Malaysia hanya 12 buah sahaja dalam tempoh tiga tahun pengajian. Perangkaan ini jauh ketinggalan berbanding dengan negara-negara luar seperti Australia berjumlah 180 buah, India sebanyak 130 buah, Indonesia 94 buah, Thailand 56 buah dan Brunei pula 26 buah. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat Malaysia kurang dan malas membaca. Fenomena ini begitu menyedihkan dalam usaha masyarakat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pusat perkembangan ilmu antarabangsa.
Nah, bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah yang semakin berleluasa ini? Pertama, minat membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi. Kata-kata hikmah pernah menyebutkan bahawa : Tuntutlah ilmu sejak dari dalam rahim hingga ke liang lahad. Tindakan progresif ini perlu dilakukan kerana minda kanak-kanak lebih mudah menerima apa jua bentuk ilmu kerana mereka bersih dan suci daripada segala kedaifan dunia.
Kedua, perubahan sikap yang negatif kepada positif. Setiap manusia yang berakal waras perlu mendahulukan persepsi positif dalam menangani sesuatu masalah. Apatah lagi, sikap yang positif akan menyebabkan nilai kehidupan seseorang itu akan lebih bermakna. Jadi, langkah pertama perlu dimulakan dengan langkah yang kanan.
Ketiga, kerajinan. Kecerdasan fikiran tidak akan terhasil jika tidak disusuli dengan kerajinan yang berterusan. Dengan rajin membaca, usaha untuk meraih impian akan dipermudahkan Tuhan jalan lurus. Tidak mustahil pula untuk menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Jadi, untuk berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Membaca adalah jambatan menuju ke arahnya.
Keempat, berbudi pekerti mulia yang luhur. Ternyata membaca perlu terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan sahsiah terpuji agar bahan bacaan yang dipilih benar-benar dapat dimanfaatkan. Benar atau tidak, membaca dapat melahirkan insan yang benar-benar berwajah insan sekaligus menjadi budaya rutin dalam kehidupan.
Kelima, keyakinan diri. Terbukti bahawa keyakinan diri yang teguh dapat meningkatkan kepercayaan kepada diri sendiri. Menerusi pembacaan, keutuhan peribadi dapat dibentuk. Maka, yakinkanlah diri kita bahawa amalan membaca akan menjadikan kita manusia yang berilmu yang dipandang tinggi.
Konklusinya jelas amat mudah. Amalan membaca jika dijadikan budaya dalam kehidupan akan membuahkan cita-cita yang murni.

Tuesday, September 1, 2009

REMAJA : PEMIMPIN GENERASI MASA DEPAN


REMAJA

Terlalu ranum usia remaja
Semangat membara tiada tara tercipta
Serasa ceria ke serata pelusuk dunia
Saksi setiap tamadun umat manusia jagatraya
Jatuh bangun sebuah bangsa bermula dengan mereka.

Terlalu sensitif nista seribu bicara
Cepat memberontak tembok tinggi tingkah lakunya
Mudah terpengaruh tipu daya duniawi fana
Hanya berbekalkan sebongkah keimanan di dinding sukma
Bisa membias seluruh dugaan melanda.

Anak-anak muda yang masih hijau ronanya
Cermatkanlah langkahmu mengharung badai ombak ganas menghempas
Kawallah emosi dalam segenap sudut hati yang berkelana
Panjangkan akalmu mengutus senaskah keputusan diri
Semat tekad utuh menangkis sejuta tohmahan
Kemurnian kepercayaan inti seluruh perjalanan
Abadi hanya milik-Nya Yang Maha Perkasa.

Sejambak bunga taqwa
Sukar dicari ganti
Mudah dirasai
Nurani.

Nazad Ariff
1 September 2009

Monday, August 31, 2009

HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 52


SATU MALAYSIA

Jalur gemilang berona aneka pancawarna
Berkibar megah berpanji satria
Menyerlah perpaduan pelbagai citra
Mendukung nusa budi luhur persada
Anak-anak watan Malaysia bersatu dalam nuansa.

Gegak gempita pejuang agama bangsa negara
Menabrak tubuh-tubuh petualang pertiwi siaga
Berwajah derhaka berinti durjana
Keamanan kesejahteraan keharmonian kemakmuran ampuh terjaga
Jiwa-jiwa besar masa depan murni tercerna.

Bangkitlah…..bangkitlah warga Malaysia
Biar berbagai rasa terjerut dalam nubari cita
Biar berbagai minda bercelaru dalam atma
Bersama perkukuhkan satu Malaysia gagasan merdeka
Melangkah gagah tanpa ragu bimbang celaka.

Merdeka…..Merdeka…..Merdeka…..
Kalimat keramat bersalut makrifat
Ada yang gugur mempertahankan maruah
Ada yang luruh membenteras dakyah
Tercarik sejuta luka mencatat sejarah

Marilah…..Marilah wahai bangsa Malaysia berdaulat
Bersama serumpun bertemankan ukhuwah
Satu Malaysia warganegara bermadah:
"Satu Malaysia…..bersuara!"
Reezan Daas
31 Ogos 2009